Selasa, 28 Disember 2010

Jadikan Amalan Membaca Satu Budaya

Islam meletakkan ilmu sebagai asas dalam pembangunan diri manusia dan alam seluruhnya. Tuntutan pertama dan utama terhadap manusia ialah saranan menuntut ilmu, kerana ianya merupakan asas pemikiran dan pembuka minda. Ini telah diperkukuhkan dengan turunnya wahyu pertama yang diterima olah Rasul Allah S.A.W. dalam surah al-‘Alaq ayat 1-5:

Maksudnya : “(Wahai Muhammad bacalah) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian mahkluk), Dia menciptakan manusia dari sebuku darah beku, bacalah dan Tuhanmu yang Maha pemurah, yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya”.

Intisari ayat ini merupakan asas penting untuk mengubah keadaan manusia daripada kegelapan kejahilan kepada cahaya keilmuan. Mengikut ahli mufassirin, mereka mengatakan surah al-‘Alaq ini mengandungi 3 perkara besar :-

Pertama - mengenal "Allah Rabbul’alamin" yang Maha Esa dan Maha kuasa yang mencipta dan menghidupkan manusia.

Kedua - ilmu tentang "manusia dan kemanusiaan" yang telah diciptakan oleh Allah S.W.T. dalam sebaik-baik keadaan dan diberikan berbagai-bagai keistimewaan berbanding makhluk-makhluk yang lain.

Ketiga - "nikmat ilmu pengetahuan" yang telah diajarkan oleh Allah S.W.T. kepada manusia melalui pena dan tulisan.

Dipetik daripada Akhbar Berita Harian

Ahad, 20 Disember 2009

Kenapa Melayu Pantang Menderhaka Kepada Raja?

Persoalan ini sering bermain di kepala sejak sekian lama. Sekiranya dibandingkan dengan bangsa lain yang sudah menukar corak pemerintahan beraja kepada sistem republik, bangsa Melayu masih menjaga sultan walaupun sejarah merekodkan ada juga sultan pernah berlaku tidak adil kepada rakyatnya.

Persoalan ini terjawab apabila Dato' Seri Wan Hj. Abdul Wahid bin Wan Hassan menerangkan Sejarah Melayu sekaligus mengaitkan hubungan Raja dengan bangsa Melayu. Cerita ini tidak dapat dipastikan kesahihannya, tetapi cukuplah sekadar perkongsian ilmiah supaya difahami dengan logik akal.

Menurut Sejarah Melayu, ia berlaku apabila Raja Suran berketurunan Iskandar Zulkarnain masuk ke dalam laut dan berkahwin dengan Puteri Mahtabul Bahri, puteri raja Aftabul 'Ard kerajaan Basram di bawah laut. Hasil daripada perkahwinan ini, lahir tiga orang anak, Nila Pahlawan, Kerishna Pendita dan Nila Utama. Mereka dikatakan muncul di Bukit Siguntang, di tengah Sungai Melayu yang hulunya di Gunung Maha Miru, dekat padang Penjaringan dalam negeri Palembang (pada waktu itu, negeri ini dikenali sebagai kerajaan Buddha Sriwijaya sebelum kemunculan kerajaan Hindu Majapahit).

Setelah mereka muncul di Bukit Siguntang, Palembang, tiga beradik ini bertemu dua orang wanita, Wan Empok dan Wan Walini yang sedang berladang di sana. Dipendekkan cerita, Wan Empok berkahwin dengan Nila Pahlawan, Wan Malini dengan Kerishna Pendita. Nila Utama pula mendapat gelaran baru sebagai Sang Si Perba.

Menurut Sejarah Melayu, pada masa itu Palembang sedang diperintah oleh seorang raja yang dipanggil Demang Lebar Daun. Apabila mendengar khabar ada anak raja besar keturunan Iskandar Zulkarnain turun di Bukit Siguntang, baginda pun terus ke sana untuk bertemu-muka dan mengambil berkat kebesaran anak raja itu.

Berita ini tersebar jauh ke merata tempat sehingga raja-raja lain pun turut sama bertumpu ke situ. Sesetengah raja datang membawa kaum keluarga mereka. Maka Sang Si Perba pun mengambil mana-mana puteri raja yang elok untuk dibuat isteri dan mereka menerima sahaja kerana rasa bertuah bermenantukan anak cucu Iskandar Zulkarnain. Malangnya, semua puteri ini kedal setelah “dijamah” baginda (Tak pasti 'kedal' penyakit apa. Mengikut ceritanya, ini berlaku disebabkan ketinggian daulat baginda).

Tersebutlah nama Wan Sendari anak Demang Lebar Daun yang cantik paras rupa. Sang Si Perba ingin memperisterikannya tetapi si bapa pula takut puterinya pun akan kedal juga. Maka sembah Demang Lebar Daun, “Jikalau anak patek tuanku peristeri, nescaya kedal ia. Tetapi jikalau tuanku mahu berwa’adat (berjanji sumpah setia) dengan patek, maka patek persembahkan anak patek ke bawah duli Yang di-Pertuan.”

Mengikut Sejarah Melayu, Demang Lebar Daun adalah orang yang pertama menggunakan bahasa “Yang di Pertuan” dan “Patek” apabila bercakap dengan raja, kerana Sang Si Perba itu keturunan raja-raja besar... Maka titah Sang Si Perba: “Apa yang dikehendaki oleh bapaku itu?”

Sembah Demang Lebar Daun: “Adapun tuanku, segala anak cucu patek sedia akan jadi hamba ke bawah duli Yang di-Pertuan; hendaklah ia diperbaiki oleh anak cucu duli tuanku. Dan jika ia berdosa, sebesar-besar dosanya pun, jangan difadhihatkan, dinusta dengan kata-kata jahat. Jikalau besar dosanya dibunuh, itupun jikalau berlaku pada hukum Shara’.”

Sang Si Perba pun bertitah: “Akan minta bapa itu hamba kabulkanlah. Tetapi hamba minta satu janji pada bapa hamba...”“Janji yang mana itu, tuanku?”“Hendaklah akhir zaman kelak anak cucu bapa hamba jangan derhaka pada anak cucu kita. Jikalau ia zalim dan jahat pekerti sekali pun”. “Baiklah tuanku. Tetapi jikalau anak buah tuanku dahulu mengubahkan dia, maka anak cucu patek pun mengubahkanlah.”Titah Sang Si Perba: “Baiklah, kabullah hamba akan wa’adat itu.”

Mereka pun bersumpah-sumpahan serta berteguh janji, barang siapa yang mengubah perjanjian itu dibalikkan Allah bumbung rumahnya ke bawah, tiangnya ke atas. Itulah sebabnya anak Melayu tidak boleh derhaka kepada raja walau seburuk-mana sekali pun perangai raja itu... Kalau derhaka, maka tulah dimakan sumpah. Raja pula tidak boleh memberi aib atau malu terhadap anak Melayu walau besar mana sekali pun kesalahannya. Kalau dilakukan juga, raja itu akan jatuh juga nanti.

Dipetik dari http://www.universitisilat.blogspot.com/